Ia merupakan sebahagian daripada nilai projek berdasarkan 14 memorandum persefahaman yang dimeterai antara syarikat-syarikat swasta kedua-dua negara pada hari kedua lawatan Najib ke Negara Tembok Besar ini.

Di peringkat kerajaan pula, kerajaan Malaysia dan pemerintah China telah menandatangani 14 lagi perjanjian persefahaman dan pembiayaan melibatkan pelbagai sektor ekonomi, pengangkutan, pertanian, pendidikan dan pertahanan, dengan yang paling menonjol adalah komitmen Malaysia untuk membeli dari China empat buah kapal misi pesisir (LMS) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Inilah kali pertama dalam sejarah, Malaysia membeli aset ketenteraan dari China setelah berpuluh-puluh tahun bergantung kepada aset dan teknologi ketenteraan dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Rusia.

Pada sidang akhbar selepas beliau mengadakan pertemuan bilateral dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang di bangunan Great Hall of the People di sini, Najib berkata, lawatan rasmi beliau ke China kali ini telah mendapat hasil yang memberangsangkan.

“Saya boleh sifatkan pencapaian lawatan ini telah bawa hubu­ngan dua hala kita ke tahap lebih tinggi, ia satu titik pencapaian baru hubungan bilateral antara China dan Malaysia,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, jumlah pelaburan dan perniagaan yang dicatatkan dalam kunjungan beliau ke China adalah jumlah terbesar yang pernah diperoleh oleh Malaysia dan beliau menganggapnya satu pencapaian bersejarah.

Antara yang dimeterai sempena lawatan itu ialah kerjasama dalam pelbagai bidang, antaranya projek Gateway Melaka, Bandar Malaysia, Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), pembangu­nan taman perindustrian di Ku­antan, pemberian lesen kepa­da China Construction Bank, dan memorandum persefahaman melibatkan syarikat teknologi Alibaba Group dari China.

Mengenai keputusan bersejarah yang dimeterai untuk membeli empat buat kapal tempur pesisir dari China, Najib berkata, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dan TLDM akan menambah jumlah kapal yang dibeli jika TLDM berpuas hati.

Katanya, dua buah kapal tentera laut itu akan dibina di China manakala dua buah lagi dipasang di Malaysia dan dijangka siap dua tahun lagi.

Beliau juga memaklumkan ba­hawa kontrak untuk membina landasan berkembar dari Gemas ke Johor Bahru yang diberikan kepada syarikat-syarikat China bernilai RM8.9 bilion juga telah diberi kelulusan.

Menurut Najib, beliau juga ti­dak lupa membangkitkan per­ka­ra membabitkan petani dan pekebun kecil di Malaysia kerana lawatan itu bukan semata-mata memberi peluang kepada ahli-ahli perniagaan sahaja.

“Dua perkara telah saya tekankan iaitu yang pertama, saya sarankan supaya kerajaan China membeli lebih banyak jumlah minyak kelapa sawit. Saya telah maklumkan bahawa 500,000 pe­kebun kecil bergantung kepada sumber pendapatan minyak sawit. Kalau harga sawit naik lagi tinggi, maka dapat banyak faedah. Perdana Menteri China menyambut positif, akan ambil lebih ba­nyak tindakan supaya China boleh beli lebih banyak sawit (dari Malaysia) dalam masa terdekat ini,’’ kata beliau.

Isu-isu lain yang dibangkitkan dalam mesyuarat bilateral tersebut ialah pengimportan sarang burung walet dan sokongan Malaysia untuk Kumpulan Genting terlibat dalam pembinaan resort di tapak Olimpik Musim Sejuk 2022 yang akan diadakan di Beijing, China.

Menjawab soalan wartawan adakah beliau fikir kini terdapat terlalu banyak projek dan kerjasama dengan China, Najib berkata:

“Tidak. Kita tengok kepada realiti ekonomi. Setengah daripada peluang itu terbuka kepada negara lain juga tetapi mereka tidak mempunyai kemampuan ke­wangan dan kepakaran untuk mengambil bahagian dalam projek-projek infrastruktur besar-besaran yang kita nak laksanakan. “Kita sentiasa ambil kira kepenti­ngan negara dan kita nak tentukan syarat-syarat terbaik yang kita hendak peroleh.” – UTUSAN